Thursday, May 13, 2021

Hari Raya – Orang Melayu Keliru?

 Berita Hairan

The Adventures of The Trying Too Hard Mat

hari raya – orang melayu keliru?

Itu lah, asik asik nak buang barang. Sekarang nak cari itu artikel dari Berita Minggu kang tak dapat jumpa. Nasib baik ada sidini ada interpret kan. cyberita nye portal memang tak bleh diharap.


Dan seterusnya, artikel dari Encik Zulkifli Mohd Sa’ad petikan dari Berita Minggu, Spektra Minda pada 27 September 2009.


Mungkin ada orang yang akan marah apabila membaca rencana saya ini. Namun, yang benar itu selalunya pahit.


Biar saya mulakan dengan satu pertanyaan : Adakah Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kebesaran orang Melayu atau hari kebesaran umat Islam?


Kita selalu dengar bahawa Hari Raya adalah hari untuk memuji kebesaran Allah. Namun, tafsirannya akan meleret kepada perkara-perkara yang lain.


Mari kita sama-sama kupas satu persatu.


Pertama sekali, dari segi ucapan kita. Pada masa Hari Raya apabila kita bertemu, kita akan mengucapkan “Selamat Hari Raya”. “Hari” membawa maksud ‘satu hari’.


Kita buat tafsiran bahawa bulan Syawal itu adalah BULAN hari Raya. Tetapi, kita tetap tidak mahu tukar ucapan kita kepada “Selamat Bulan Raya”


Bulan Ramadhan kita iktiraf sebagai bulan puasa kerana kita berpuasa selama sebulan, tetapi kenapakah bulan Syawal kita ucap Hari Raya pula?


Salahkah jika saya kata orang Melayu kita terkeliru?


MEMINTA MAAF

Kedua, masih lagi membincangkan soal ucapan. Kita mencipta ucapan “Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin”. Kalau kita lihat dua frasa ini, sebenarnya ia bercanggah. Bahagian ucap selamat itu menunjukkan kita gembira, tetapi kenapakah selepas itu kita minta maaf? Cuba fikirkan, mana ada kaitannya?


Semasa baru sampai di rumah tuan rumah, kita ucap “Selamat……” tetapi setelah berbual, menjamu selera dan bersalaman untuk pulang, kita bermaaf maafan. Ada sebahagian pula akan duduk melutut dengan penuh takzim meminta maaf. Saya tidak kata ini perbuatan yang salah. Namun, MANA RASIONALNYA ? Sudah ucap “Selamat”, selepas itu “Minta Maaf”?


Orang Islam yang lain bergembira pada Hari Raya Aidifitri. Mereka ucapkan “Yaumusaadah, Yaumul Akbar”, tetapi, mereka tidak pernah meminta maaf antara satu sama lain.


Ada seorang teman guru saya yang berasal dari Timur Tengah yang pernah bertugas disini, meluahkan rasa hairannya apabila orang Melayu bermaaf-maafan pagi Hari Raya Aidilfitri. Kemudian kita juga ‘meletak-kan’ hukum bahawa bermaaf-maafan ini hanya berlaku pada Hari Raya Aidilfitri, dan tidak bolehkan pada Hari Raya AidilAdha. Eh! Siapa pulak yang mencipta ini, ya?……


Akhirnya, ia (bermaaf-maafan) menjadi persendaan. Jika ada sesiapa yang buat salah, mereka akan kata “Nanti Hari Raya aku minta maaf, eh?”


Ayah saya adalah seorang anak dagang yang sampai di Singapura pada lewat remajanya. Seingat saya, dari kecil lagi, ayah tidak pernah mengajar kami tujuh beradik untuk beratur meminta maaf kepada beliau dan ibu pada pagi Hari Raya Aidilfitri, tidak seperti keluarga-keluarga lain yang akan beratur dan meminta maaf sambil menangis. Saya tidak pernah diajar dan melakukan demikian.


Saya tidak tahu sama ada ini kerana ayah tidak jumpa dalam hadis atau memang beliau tidak ajarkan. Pokoknya, kami tidak buat perkara demikian. Maka, jika ada yang cuba bermaaf-maafan dengan saya, sya rasa janggal dan macam berbohong jika saya katakan saya juga “Minta maaf”. Paling tidak pun saya ucapkan, “Sama-sama”


ZIARAH KUBUR


Ketiga, Hari Raya Aidilfitri selalu dikaitkan dengan kesedihan dan mesti ziarah kubur. Kita disuruh mengingatkan yang telah tiada. Betulkah begitu?


Kenapa mesti ingat mereka yang telah tiada pada Hari Raya Aidilfitri sahaja? Bagaimana pula anda yang pernah kehilangan orang yang disayang pada bulan-bulan yang lain? Mengapakah pilih untuk bersedih apabila menjelang Syawal sahaja? Apakah alasan anda?


Ada yang memberitahu bahawa alunan suara orang bertakbir boleh membuat mereka sedih. Apa yang paling pelik ialah walaupun takbir itu dialunkan di corong-corong radio atau dipaparkan di kaca televisyen, ia boleh mengusik perasaan mereka!


Kalau ditanya apa yang buat mereka sedih, mereka akan beritahu, suara dan lagu yang dibawakan yang membuat mereka sedih. Astaghfirullah! Sedih sungguh orang Melayu, kan?


Bukan makna kalimat yang membuat mereka sedih, tetapi kelunakan suara dan alunan lagu takbir itu yang membuat mereka sedih. Walhal, kalau kita amati makna takbir Aidilfitri itu ia langsung tidak menunjukan kesedihan.


Sebaliknya, ia adalah kalimah-kalimah yang memuji kebesaran dan keagungan Allah dan menolak kekufuran dan akhlak jahat. Tidak ada satu pun kalimat atau bait yang mengajak kita bersedih.


MENANGIS


Orang Timur Tengah kehairanan apabila melihat orang Melayu melagukan takbir Aidilfitri dan menangis.


Di Timur Tengah, takbir Aidilfitri dibaca beramai-ramai dengan suara yang tegas yang menjunjukkan kekuatan umat Islam dan pada masa yang sama memuji dan membesarkan Allah. Tetapi kita di sini menangis, sebah sedih kerana alunan lagunya.


Sebenarnya, lagu yang dibawakan itu adalah salah satu kaedah tarannum yang dipanggil Jiharkah. Memanglah, kalau kita baca Quran, kita bawakan lagu Jiharkah. Iramanya sedih dan lunak, apatah lagi kalau kena pada ayat-ayat yang sesuai dengan alunan irama tersebut. Tetapi kalau irama itu dibawakan dalam takbir Aidilfitri, ia menjadikan takbir itu lemah. Wallahuaklam.


Oleh kerana sedih (yang tidak bertempat) itu, ada kala sebutan pembaca takbir itu sampai terjejas. Saya bukan hendak menghina sesiapa, tetapi kalau sudah bertakbir dan sibuk menangis sampai kalimat kalimat yang disebut tersalah-salah, bukankah itu menukar makna, sedangkan pada masa itu kita sebenarnya sedang memuji Allah?


PAKAIAN


Keempat, saya ingin sentuh soal pakaian Hari Raya pula. Sudah seperti menjadi kewajipan kita menyambut Hari Raya dengan pakaian baru. Lantas, orang Melayu membudayakan sambutan Hari Raya dengan memakai baju kurung bagi yang perempuan dan baju Melayu bagi yang lelaki.


Rasulullah s.a.w. menggalakkan kita berbaju baru semasa solat Aidilfitri dan warna yang digalakkan adalah putih.


Oleh kerana orang Melayu suka ‘memeriahkan’ hari Raya, mereka sanggup beli atau tempah baju kurung dan baju Melayu yang berwarna warni.


Yang peliknya, semasa solat mereka pakai baju lama, tetapi balik ke rumah, mereka akan tukar baju cantik untuk berjalan jalan raya. Walau apa pun, mereka mesti hendak berbaju Melayu.


Saya tidak tahu mengapa, tetapi saya tidak ada jawapannya. Kami sekeluarga tidak pernah berbaju Melayu yang lengkap, maksud saya, sampai berkain samping. Apabila usia saya meningkat remaja saya mula berjubah hinggalah kini. Arwah nenek selalu bising dan mengadu sayalah satu satu cucunya yang tidak pernah berbaju Melayu. Ini kerana saya hanya akan pakai baju Melayu dan kain samarinda untuk solat; selepas itu akan tukar ke kemeja T dan jeans. Ayah dan ibu pula tidak pernah melarang.


Taksubnya orang Melayu yang tidak bertempat ini menyebabkan mereka bercakap tanpa berfikir. Setelah saya memakai jubah, ada pula yang cuba buat komen-komen yang menggeramkan seperti, “Apalah kau ni! Tak pakai baju Melayu, pakai jubah. Ini pakaian orang Arab. Kita kan orang Melayu? Mesti hidupkan budaya Melayu”.

Lantas saya bertanya pula, “Apakah menghidupkan budaya Melayu itu perlu dilakukan pada bulan Syawal sahaja? Kenapa anda tidak ke pejabat memakai baju Melayu dan kain samping setiap hari demi mempromosi keMelayuan yang anda bangga-banggakan itu?” Terdiam beliau tanpa memberi jawapan.


ZIARAH


Akhir sekali, ziarah-menziarahi digalakkan dalam Islam kerana ia boleh mengeratkan silaturahim. Namun, orang Melayu akan membuat suatu activiti istimewa khas ziarah-menziarahi pada bulan Syawal. Mengapa?


Jawapannya ialah kerana ia sudah dibudayakan begitu. Itulah antara sebab mereka kena beli baju dua tiga helai atau mungkin lebih. Pada masa yang sama, mereka kena keluarkan belanja untuk membeli kuih dan air sirap. Belanja yang dikeluarkan berlipat ganda.


Mereka bukan tidak boleh berziarah, tetapi ziarah hingga tuan rumah kena berhabis-habisan, itu tidak patut kan? Sebab, kalau tidak ada apa-apa yang hendak dihidangkan, tuan rumah akan malu.


Lain pula saudara seislam di Timur Tengah. Mereka mengundang tetamu, tetapi pada bulan Ramadhan. Mereka menjamu para sahabat dan rakan kerana ingin merebut pahala yang berlipat ganda sempena bulan Ramadhan.


Ziarah menziarahi semasa bulan Syawal mungkin seronok dilakukan beramai-ramai. Maka itu, ada orang Melayu yang penuh semangat pergi dengan secara “berkonvoi”. Mereka menggunakan tiga, empat kereta untuk berziarah bersama-sama. Yang lebih ‘hebat’, menyewa bas.

Kebanyakan orang Melayu tinggal di flat; paling besar jenis flat jumbo. Kalau yang datang secara konvoy dengan bas 45 tempat duduk, bayangkanlah betapa sesaknya keadaan flat itu. Bayangkan juga betapa kelam-kabut tuan rumah. Lintang pukang dibuatnya.


ADAT BERTAMU

Mari kita rujuk kembali kepada adat bertamu yang telah diajar oleh agama Islam. Antaranya, kita tidak boleh menyusahkan tuan rumah. Oleh kerana sudah terlalu ramai yang datang dan juga sudah membayar sewa kereta atau bas, maka tamu tidak boleh ziarah lama-lama. Tujuan utama berziarah dan beramah mesra tidak tercapai!


Ada pula golongan yang entah tahu tengok jam atau tidak. Sudah jam 12 tengah malam, mereka masih sibuk berjalan dari satu rumah ke satu rumah, tanpa mengambil peduli sama ada tuan rumah sudah beradu atau belum.


Semua ini dilakukan atas alasan, “inikan Hari Raya? Setahun sekali sahaja…” Entahlah……

Banyak lagi isu yang boleh kita timbulkan disini, tetapi kerana terbatasan ruang, tidak dapat saya sebutkan.


KESIMPULAN

Kesimpulannya, orang Melayu sudah terlalu terkeliru. Aidilfitri diMelayukan. Dari segi pakaian, mesti pakai baju tradisional, dan dari segi jamuan, mesti adakan jamuan tradisional.


Rancangan di televisyen pula penuh dengan hiburan. Salam Lebaran, Salam Aidilfitri dan bermacam macam lagi. Menyanyi lagu Hari Raya lagi. Kalau tidak ada lagu Hari Raya, orang Melayu macam tak beraya, kata orang Melayu.


Mereka mesti hendak meriah. Mereka menangis cuma pada hari pertama saja apabila mendengar takbir yang sendu dan ke kubur. Selepas itu mereka berpesta! Lucu juga saya lihat bangsa yang keliru ini. Orang Melayu tidak jelas apa yang mereka mahukan daripada Hari Raya.


Kalau yang tinggal di kota Singa, mereka mesti hendak ziarah ke bazaar Geylang. Kalau tidak pergi, tidak ‘sah’ Hari Raya, kata mereka.


Yang kurang pendidikan agama, tidak malu apabila tidak berpuasa. Mereka makan, minum dan merokok di khalayak ramai. Solat tarawih, jauh sekali. Tetapi, apabila tiba Hari Raya, golongan inilah yang sibuk membuat persiapan.


Mungkin suatu hari ada seorang guru agama yang boleh ‘membuka mata’ orang Melayu dan menyedarkan mereka bahawa Aidilfitri ini buat orang Islam dan bukan untuk bangsa Melayu sahaja. Ia adalah hari suci yang Allah anugerahkan untuk Muslimin dan Muslimat, bukan untuk orang yang berbangsa Melayu saja.


Ini semua adalah pandangan peribadi saya dan apa yang saya amati. Ia bukan satu kajian formal. Jika ada yang baik, jadikanlah tauladan; yang lemah, jadikan pengajaran.


Replies:



No comments: